1. APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN HARTA SEPENCARIAN?
Harta Sepencarian (HS) ialah suatu
harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, yang diperoleh bersama oleh
suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan
oleh Hukum Syarak. Harta itu juga termasuklah harta yang diperoleh sebelum
mereka be2rkahwin tetapi telah dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa
perkahwinan hasil usaha bersama atau sumbangan bersama mereka.
2. APAKAH PERKARA YANG
DIAMBIL KIRA DALAM MENENTUKAN HARTA SEPENCARIAN?
HS yang diperoleh dalam
masa perkahwinan itu dinilai dari dua perkara iaitu –
a) Sumbangan Secara Langsung.
Sumbangan secara langsung bermaksud pihak-pihak kepada perkahwinan itu
telah sama-sama memberikan sumbangan mereka dalam memperoleh aset dan harta
berkenaan. Pasangan ini sama-sama mengeluarkan modal dan wang bagi membeli aset
dan harta berkenaan.
Sebagai contohnya, pasangan suami isteri mempunyai kerjaya masing-masing,
telah sama-sama membeli aset dan harta berkenaan secara ansuran yang pihak
suami telah membuat bayaran pendahuluan dan pihak isteri pula membuat bayaran
ansuran bulanan. Mereka berkongsi bersama-sama dan memberi sumbangan wang,
modal dan sebagainya secara langsung daripada pendapat mereka bersama.
b) Sumbangan Secara Tidak
Langsung.
Sumbangan tidak langsung bermaksud suatu sumbangan yang bukan berbentuk
wang atau benda tetapi mendatangkan dan manghasilkan harta atau aset tertentu.
Sumbangan ini, sama ada melalui idea, dorongan, nasihat, memberi semangat,
menjaga keselesaan, menimbulkan ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan
satu lagi yang berusaha secara langsung dan berjaya mendapatkan harta dan aset
itu.
Sebagai
contohnya, pihak suami bekerja dan pendapatan tetap bulanan telah dapat membeli
beberapa aset dan harta secara bayaran ansuran manakala pihak isteri tidak
bekerja tetap tetapi memberikan sumbangan dengan menjaga keluarga, membina
rumahtangga, memelihara anak-anak dan menunaikan tanggungjawab perkahwinan
mereka sehinggakan pasangan ini telah berjaya memiliki aset dan harta tersebut
dalam tempoh perkahwinan mereka. Walaupun pihak isteri tidak memberikan
sumbangan modal dan wang dalam memiliki aset dan harta, pihak isteri ini
dianggap telah memberikan sumbangan secara tidak langsung terhadap pemilikan
aset dan harta tersebut.
3. SIAPAKAH YANG BERHAK
MENUNTUT HARTA SEPENCARIAN DAN BILAKAH TUNTUTAN BOLEH DIBUAT?
Tuntutan HS boleh dibuat
kepada Mahkamah Tinggi Syariah oleh suami atau isteri atau ahli waris –
a) Semasa tuntutan poligami;
b) Selepas penceraian; atau,
c) Selepas kematian pihak
suami atau isteri (oleh ahli waris).
4. BAGAIMANAKAH MENENTUKAN
KADAR PEMBAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN?
Kadar pembahagian HS
adalah berdasarkan takat sumbangan yang diberikan oleh satu-satu pihak itu dan
ia juga akan ditentukan oleh Mahkamah berdasarkan faktor yang berikut;
a) Takat sumbangan yang
dibuat oleh pihak-pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja dalam memperoleh
harta tersebut;
b) Apa-apa hutang yang
terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakuakan bagi manfaat kebaikan
mereka bersama (usaha bersama sahaja);
c) Keperluan anak-anak yang
belum dewasa dalam perkahwinan itu.
5. BAGAIMANAKAH PERINTAH
PEMBAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN DIBUAT?
Perintah pembahagian boleh
dibuat dengan berbagai-bagai cara iaitu –
a) Secara Sulh / Perantaraan
– iaitu dengan cara pengakuan dan penyerahan hak kepada satu pihak lagi seperti
si suami mengaku bahawa rumah itu adalah HS tetapi dia tidak mahu menuntut,
sebaliknya melepaskan haknya terhadap rumah itu kepada bekas isteri dan anak-anaknya;
b) Secara bayaran balik –
iaitu apabila diakui sebidang tanah ialah HS tetapi si suami atau si isteri
mahu memiliki terus tanah itu maka siapa yang ingin terus memiliki tanah itu
hendaklah memulangkan semula wang pihak satu lagi yang telah dibayar semasa
pembelian tanah itu;
c) Secara penjualan – iaitu
si suami dan si isteri tidak mahu memiliki sesuatu harta / aset tetapi mahukan
bahagian masing-masing, maka Mahkamah akan memerintahkan harta aset itu dijual
dan pembahagian mengikut kadar sumbangan terhadap harta / aset itu;
d) Secara dibahagi dua –
dalam keadaan kedua belah pihak suami dan isteri telah sama-sama menyumbang
dalam memperoleh harta itu;
e) Pertimbangan Mahkamah
dengan mengambil kira kadar yang munasabah dan takat sumbangan pihak itu.
6. APAKAH PERKARA-PERKARA
YANG PERLU DIKEMUKAKAN SEMASA MEMBUAT TUNTUTAN DI MAHKAMAH?
Perkara yang diperlukan
semasa membuat tuntutan amnya meliputi –
a) Jenis harta, sama ada
harta alih atau tak alih;
b) Setakat banyaknya
sumbangan dalam pemilikan harta itu;
c) Dokumen-dokumen pembelian
atau pemilikan harta / aset seperti tanah, rumah, kereta atau syer;
d) Saksi-saksi yang boleh
menerangkan bagaimana pemilikan harta / aset itu, sama ada berpunca daripada
usaha bersama atau usaha tunggal satu pihak;
e) Bukti tanggungan-tanggungan
salah satu pihak seperti hutang-piutang atau anak-anak dalam jagaan.
No comments:
Post a Comment