1. APAKAH YANG DIMAKSUDKAN
DENGAN MUTAAH?
Mutaah ialah suatu
pembayaran saguhati yang diberikan oleh bekas suami kepada bekas isterinya
selepas mereka bercerai sama ada berupa wang ataupun barang. Saguhati Mutaah
ini dikira bayaran yang wajib apabila perceraian itu berlaku bukan disebabkan
oleh kesalahan pihak bekas isteri.
2. APAKAH HUKUM MENGENAI
MUTAAH?
Jumhur ulama menyatakan
hukum asal Mutaah ialah sunat iaitu suatu amalan yang digalakkan terhadap suami
yang telah menceraikan isterinya. Alasan pendapat ini disandarkan kepada ayat
236 surah al-Baqarah yang bermaksud:-
“Hendaklah
kamu memberikan Mutaah (iaitu pemberian saguhati) kepada mereka yang diceraikan
itu, iaitu suami yang senang hendaklah memberikannya menurut kemampuan mereka
dan bagi suami yang susah menurut kemampuannya sebagai pemberian saguhati
menurut apa yang patut dan menjadi satu kewajipan ke atas orang yang mahu
berbuat demikian”.
3. APAKAH TUJUAN MUTAAH?
Mutaah bertujuan untuk
meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh bekas isteri akibat diceraikan
oleh bekas suaminya. Dengan pemberian Mutaah ini kepada bekas isteri –
i. Akan membolehkan isteri untuk berdikari dan memulakan hidup
baru selepas bercerai;
ii. Akan mengelakkan prasangka buruk masyarakat terhadap isteri itu bahawa perceraian adalah berpunca daripada kesalahan isteri;
iii. Ia merupakan perhargaan daripada suami atas sumbangan dan
peranan isteri.
4. APAKAH PRASYARAT UNTUK
ISTERI MEMOHON MUTAAH DI MALAYSIA?
Prasyarat untuk isteri
memohon Mutaah di Malaysia adalah seperti yang berikut:
i.
Wujud perkahwinan yang sah;
ii.
Berlaku perceraian bukan berpunca daripada isteri;
iii.
Berlaku perceraian hidup;
iv.
Berlaku persetubuhan;
v.
Perceraian bukan disebabkan oleh suami papa2.
5. APAKAH FAKTOR YANG
MENGGUGURKAN HAK MUTAAH?
Faktor yang menggugurkan
hak Mutaah adalah seperti berikut:
i.
Isteri yang Nusyuz yang disabitkan oleh Mahkamah;
ii.
Isteri yang diceraikan sebelum bersetubuh dan mas kahwin
disebut dalam akad;
iii.
Isteri Murtad;
iv.
Perceraian secara Tebus Talaq.
6. BAGAIMANAKAH CARA UNTUK
MENENTUKAN KADAR MUTAAH?
Tiada terdapat suatu
panduan tertentu yang boleh dijadikan formula tetap untuk menentukan kadar
dalam pemberian Mutaah daripada seorang bekas suami kepada isteri yang
diceraikan. Namun begitu, terdapat prinsip umum yang menyatakan bahawa sesuatu
pemberian hendaklah diasaskan kepada –
i.
Kemampuan suami;
ii.
Status pasangan;
iii.
Tempoh perkahwinan;
iv.
Pengorbanan isteri.
7. APAKAH PERUNTUKKAN
MENGENAI MUTAAH DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM?
Peruntukkan mengenai
Mutaah pada umumnya terdapat dalam semua Enakmen Keluarga Islam Negeri. Seksyen
56 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, misalnya
menyebut –
“Sebagai tambahan kepada
haknya untuk memohon nafkah, seorang perempuan yang telah diceraikan tanpa
sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon Mutaah atau pemberian saguhati
kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan
apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang
patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut
Hukum Syarak”.
No comments:
Post a Comment